fbpx

UiTM News: MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN DI ANTARA UiTM DAN BETSOL SDN BHD SERTA PENYERAHAN MOCK UP CHEQUE TAJAAN BETSOL SDN BHD

Lalat Askar Hitam sebagai Agen Antibakteria

 

Kajian Komponen Protein dalam Larva Lalat Askar Hitam yang Berpotensi Melawan Bakteria

 

Sungai Buloh, 14 Februari – Satu persepakatan telah dimeterai antara Fakulti Perubatan UiTM dan syarikat industri, Betsol Sdn. Bhd. bagi projek, ‘Identifikasi Protein yang Berfungsi Sebagai Agen Antibakteria dari Larva Lalat Askar Hitam’. Penyelidikan ini akan diketuai oleh Dr. Heo Chong Chin, ahli entomologi dari Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan dibantu oleh Dr. Hassanain Issam Yehya Yehya Talib, ahli mikrobiologi, dari fakulti yang sama. Kajian akan bermula pada Februari 2020 dan dilaksanakan di makmal mikrobiologi yang terdapat di Institute for Medical Molecular Biotechnology (IMMB), Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sungai Buloh.

 

Beberapa objektif bagi projek ini telah dikenalpasti seperti 1) untuk melihat kesan ekstrak larva lalat askar hitam terhadap bakteria yang sering dilaporkan menjangkiti manusia, 2) untuk mengenalpasti protein yang bertanggungjawab menghasilkan kesan antibakteria berkenaan dan 3) untuk menghasilkan protein berkenaan secara sintetik dan melihat sama ada hasil tersebut akan memberi impak yang sama seperti ekstrak larva asal. Untuk mencapai objektif-objektif yang telah dinyatakan, projek ini dijangka akan mengambil masa selama tiga tahun.

 

Kajian ini penting untuk dilaksanakan kerana pada masa ini, terdapat peningkatan terhadap bakteria yang berupaya melawan antibiotik yang lazim digunakan oleh hospital. Tambahan pula, bahan yang digunakan di dalam penyelidikan ini adalah larva lalat askar hitam yang semulajadi dan senang didapati di Malaysia. Ciri ini penting bagi memastikan bekalan material sentiasa berterusan sekiranya ada perancangan untuk menghasilkan antibiotik baru pada masa akan datang.

 

Lalat askar hitam merupakan lalat yang sangat bermanfaat kepada alam sekitar. Setakat ini, larva lalat tersebut telah digunakan sebagai sumber makanan bagi haiwan ternakan seperti ayam kerana kandungan protein dalam larva sangat tinggi. Selain itu, kebolehan larva lalat ini untuk menghadam bahan organik telah digunakan untuk menyelesaikan masalah timbunan sampah organik. Betsol Sdn. Bhd. merupakan salah satu syarikat mesra alam di Malaysia yang membekalkan larva lalat askar hitam sebagai sumber makanan dan servis rawatan bahan buangan organik.

 

Konklusinya, usahasama ini diharap dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dari segi kesihatan, persekitaran dan juga ekonomi.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek penyelidikan ini, sila hubungi Dr. Heo Chong Chin di chin@uitm.edu.y atau 013-3714833.

 

Read more

Source: (Fcebook-UiTM)

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN DI ANTARA UiTM DAN BETSOL SDN BHD SERTA PENYERAHAN MOCK UP CHEQUE TAJAAN BETSOL SDN...

Posted by Universiti Teknologi MARA - Media Rasmi on Friday, February 14, 2020

Need more information? Call at (+60) 16-218 3684

error: Content is protected !!